Cari Duit Dari Rumah









Apakah ramai dari kita yang mencari rezeki hanya dari rumah? Atau mencuri masa secara separuh masa mencari sedikit pendapatan dari rumah walaupun berkerjaya tetap? Mungkinkah ada mereka yang mewah hasil daripada 'home business'? Untuk mencari jawapan bagi soalan-soalan tersebut, mari sama-sama kita baca artikel di bawah yang ditulis oleh saudari Shuhada Mansor.

"Ajukan kepada sesiapa saja, pasti semuanya setuju jika wujudkan pejabat sendiri di rumah. Boleh dikatakan ia impian setiap manusia kerana logiknya, kita akan berasa selesa dan santai untuk bekerja di rumah. Abaikan rasa malas, memilih untuk tidur ataupun unsur negatif lain, apa yang penting kerja dari rumah.


Pejabat kecil

Ia bukan budaya luar biasa khususnya di negara maju. Konsep bekerja dari rumah atau Small Office Home Office (SOHO) bukan perkara asing malah semakin diterima masyarakat.

Seiring dengan kemajuan dan kecekapan teknologi komunikasi dan maklumat (IT), semakin ramai individu khususnya yang celik IT mencuri peluang untuk bina kerjaya idaman dan mempunyai pejabat sendiri.


Laporan kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati lebih 25 juta penduduknya menyertai program SOHO dalam pelbagai sektor. Senarai ini diikuti Kanada (2.5 juta), United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000).


Mungkin sekitar lima tahun lalu, konsep ini masih dianggap baru di Malaysia. Namun ia kini semakin mendapat perhatian. Kementerian Sumber Manusia ada menyediakan program berdasarkan Peraturan Kerja Separa Masa mengikut Akta Kerja 1955 yang dilancarkan pada 2008 bagi menggalakkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja separuh masa atau bekerja dari rumah.

Objektifnya, program terbabit memberi peluang kepada warga kerja khususnya wanita untuk menyertai dan terus bekerja bagi menambah pendapatan berikutan waktu lebih anjal, kurang tekanan, bebas daripada kesesakan lalu lintas dan sebagainya.


Lelaki curi peluang

Biasanya, kerja dari rumah sering dikaitkan dengan wanita khususnya suri rumah kerana golongan ini dikatakan boleh mengisi slot kerjaya sambil melakukan kerja rumah. Tetapi fenomena ini semakin berkembang dan diceburi lelaki.

Tidak dinafikan wanita memonopoli bidang ini. Tinjauan syarikat laman pekerjaan dalam talian, JobStreet.com menunjukkan hampir 64 peratus wanita berkata, kepentingan kerjaya dalam hidup berubah apabila mereka mempunyai cahaya mata.

Meskipun wanita lebih menguasainya, namun konsep dan pegangannya sama, bekerja dari rumah banyak keuntungan kerana mereka boleh merancang secara fleksibel mengikut kesesuaian waktu, dapat membahagikan masa lebih berkualiti, mudah mengatur rutin seharian dan boleh menumpukan perhatian hidup sendiri.

Elemen ini sekali gus menarik golongan lelaki untuk turut serta malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka lebih berusaha keras, kreatif dan cuba sedaya upaya untuk ‘naik’ dalam tempoh singkat.


Apa nak buat?

Persoalan biasa diajukan mereka yang mahu kerja sendiri tetapi tidak tahu nak memulakannya. Ketahui banyak boleh dilakukan di rumah cuma perlu ada persiapan dan maklumat terperinci sebelum langkah bermula. Apa saja yang ingin diketahui ada di hujung jari, boleh dicari di Internet dan kombinasi kreativiti sendiri, pastinya usaha akan membuahkan hasil.

Yang terbaiknya adalah pilih kerja yang kita suka dan minat. Oleh itu kepala tidak terbeban dan urat saraf juga tak kejang. Disenaraikan beberapa kerja sambilan dan sepenuh masa yang boleh dilakukan di rumah.

Kerja tangan misalnya. Hasil seni dihasilkan dengan tangan atau dipanggil kraftangan sudah menjadi minat sejak dulu sampai sekarang. Tak kiralah aksesori, perabot, pakaian, kasut bahkan makanan atau masakan boleh dijual cara biasa atau melalui tempahan secara atas talian.

Menjahit juga antara kerja sambilan yang menjadi pilihan wanita tapi jangan terkejut ada juga lelaki pandai buat rekaan baju sendiri.

Jika ingin bekerja di rumah, hasilkan baju fesyen terkini, hijab ataupun terbuka untuk tempahan luar. Percayalah, boleh kaut keuntungan dengan mudah apabila tiba waktu perayaan.

Jika mempunyai kemahiran dalam fotografi, gunalah sebaiknya kelebihan itu. Mulakan dengan membuka syarikat atau kumpulan jurugambar secara kecil-kecilan untuk penuhi permintaan majlis kahwin, pesta hari jadi, majlis bercukur, praperkahwinan dan sebagainya.

Semakin berpengalaman seseorang itu, semakin tinggi bayarannya. Kerja lain yang berkaitan termasuk perkhidmatan solekan, dandanan dan katering.

Malah program kerja ‘online’ bersepah di Internet. Anda boleh jana pendapatan dengan mudah tanpa perlu banyak bergerak. Boleh dilakukan sambil baring atas katil, cuma perlukan Internet, contohnya bisnes jual beli, forex dan macam-macam lagi. Banyak yang boleh dilakukan, cuma perlu berjaga-jaga, elakkan tertipu.


Sendiri atau cari geng

Kerja di rumah boleh dilaksanakan mengikut kemahuan sama ada secara sendiri ataupun berkumpulan. Seperti suasana dalam pejabat, anda boleh aplikasikan konsep sama di rumah.

Individu - Anda bertindak selaku pengarah dalam menguruskan kerjaya sendiri. Wujudkan pejabat di rumah dan jalankan perniagaan atau apa saja secara berseorangan, kurang masalah dan kurang campur tangan orang lain.

Berkumpulan - Banyak idea boleh dikongsi sekiranya kekurangan bahan. Kreativiti membabitkan seorang individu agak terhad dan jika mempunyai ramai rakan kongsi, boleh bahagikan kerja jadi lebih mudah.

Walau apapun pilihan anda, bidang kerjaya di rumah perlukan usaha lebih berbanding kerja makan gaji. Penulis buku Work From Home, Judy Heminsley menyatakan, dia mencintai kebebasan dan fleksibiliti bekerja di rumah.

Boleh merencanakan hari sendiri, kurang tekanan, tanpa arahan sesiapa dan menggabungkan kerja pejabat dengan rutin biasa di rumah adalah perkara yang mengagumkan."



Sumber artikel: Harian Metro












Stumble This Fav This With Technorati Add To Del.icio.us Digg This Add To Reddit Add To Facebook




Share your views...

0 Respones to "Cari Duit Dari Rumah"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

© 2015 | 2016 Keusahawanan, Fotografi, Personal All Rights Reserved